Selamat Datang

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SEKOLAH KEBANGSSAAN GAMBANG

Sabtu, 21 Julai 2012

PROGRAM IHYA' RAMADHAN












    





Panitia Pendidikan Islam melalui Unit Bina Insan SK Gambang telah merangka Program Ihya' Ramadhan bermula pada 1 Ramadhan hingga 29 Ramadhan 1433H. Antara aktiviti yang dirancang:
1. Bacaan Tadarrus Al-Quran
2. Bacaan Iqra'
3. Fardhu Ain
4. Sambutan Nuzul Al-Quran
5. Majlis Khatam Tadarrus Al-Quran

Khamis, 19 Julai 2012

SISTEM PENGURUSAN LATIHAN GURU

PENGUMUMAN KEPADA SEMUA GURU SK GAMBANG

Sila abmbil PERHATIAN

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA SOAL SELIDIK AUDIT KETERBUKAAN

Tuan/Puan,

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang menjalankan satu tinjauan untuk mengenalpasti sejauh mana Bahagian KPM mengamalkan konsep keterbukaan dalam aspek perkongsian maklumat dan proses membuat keputusan. Sehubungan itu, kerjasama tuan/puan amat diharapkan untuk menilai keterbukaan Bahagian masing-masing secara profesional. Segala maklumat yang tuan/puan berikan adalah sulit. Kerjasama tuan/puan dalam melengkapkan soal selidik ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia 2012

LANGKAH-LANGKAH MELAKSANAKAN SOAL SELIDIK AUDIT KETERBUKAAN

Soal selidik Audit keterbukaan ini dibuka kepada semua Warga KPM di Bahagian-Bahagian, Jabatan dan PPD.
1. KLIK 'MODUL INDIVIDU'
2. MASUKKAN KAD PENGENALAN

PENGGUNA PERLU DIDAFTARKAN DAHULU OLEH PENYELARAS LADAP DI BAHAGIAN MASING-MASING SEBELUM BOLEH MENGAKSES KE MODUL INDIVIDU.

Sila hubungi : 03-8884 1053/ 1071/ 1072 sekiranya terdapat sebarang masalah untuk login ke modul individu.

Terima Kasih, Atas kerjasama semua pihak.


Sila klik di sini untuk mengisi borang soal selidik.

Tazkirah Ramadhan

Kepalsuan Fadilat Tarawih


Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:


DARUL QURAN WAS-SUNNAH

Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2

Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.

Tel: 09-7645816






Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang



     Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
     Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,
* Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
* Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
* Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
* Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
* Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
* Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
* Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
* Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
    
     Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

     Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

     Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

     Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

     Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`.Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini."

     Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:

     Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

     Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

     Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

     Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir) Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

     Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulain dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

     Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengann Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.



SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Sumber : http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/2009/08/kepalsuan-fadilat-tarawih.html

Selasa, 17 Julai 2012

Nasihat Ramadhan - Hijjaz

MARHABAN YA RAMADHAN


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.


1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Jumaat, 13 Julai 2012

Solat Hajat UPSR 2012

Alhamdulillah,
Dipanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT, dengan limpah kurnia dan izinNya, SK Gambang dibawah pengelolaan Penyelaras Tahun 6, Pn Norhafizah telah berjaya menganjurkan Program Solat Hajat UPSR 2012.
 

 

 Program ini bermula pukul 6.30 petang dengan pendaftar murid dan ibu bapa.  Program ini mendapat sambutan yang baik di kalangan ibu bapa dengan kehadiran yang memberangsangkan. Selepas sesi pendaftaran murid-murid dihidangkan dengan makan malam sebelum bersiap untuk solat maghrib berjamaah.


 

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Cikgu Mohd Fazlin yang juga merangkap Imam Masjid Paya Bungor. Seterusnya Solat Hajat ditunaikan sejurus selesai menunaikan solat maghrib.
Kemudian, majlis bacaan Yaasin dan Tahlil diteruskan oleh Ustaz Zulkifli sehingga masuk waktu solat fardhu Isyak. Majlis berakhir setelah selesainya solat Isyak berjamaah dan jamuan kepada para hadirin.
Pihak SKG mengucapkan setinggi tingi terima kasih kepada semua ibu bapa yang meluangkan masa untuk hadir ke sekolah menjayakan program ini. Juga rakaman terima kasih kepada semua murid dan guru guru yang terlibat. Warga SKG mendoakan agar semua calon UPSR 2012 akan dipermudahkan oleh Allah SWT serta mendapat kejayaan yang dicita-citakan.
AMIN.
 
 

Rabu, 11 Julai 2012

1M1S @ SK Gambang

Salam 1M

Sk Gambang tidak ketinggalan menyahut seruan KPM dengan mengadakan Senamrobik 1Murid 1Sukan yang diadakan pada Selasa 10 Julai 2012 yang lalu dibawah anjuran GPK KoKurikulum En Md Zuki Yakob. Majlis dilangsung dengan jayanya hasil kerjasama yang erat dikalangan guru, kakitangan serta murid-murid SKG. Majlis bermula seawal 7.45 pagi dengan murid berhimpun di Dataran Ilmu. Aktiviti dimulakan dengan aksi memanaskan badan oleh En. Faizul.
Senamrobik 1M1S peringkat SKG telah melantik Ustaz Zulkifli sebagai Intructor dan dibantu oleh Cikgu Fazilawati. Mereka telah memilih beberapa orang murid sebagai penunjukcara yang berada di hadapan pentas.

Para guru dan murid sangat bersemangat melakukan aktiviti senamrobik ini termasuklah Tuan Guru Besar SKG iaitu Puan Tuan Minah binti Tuan Ngah. Walaupun sudah bergelar usia emas, beliau tetap gagah dan berjaya menghabiskan sessi senamrobik yang berlangsung hampir 1 jam.


Guru guru lain juga tidak ketinggalan menunjukkan bakat tersendiri dalam bersenamrobik. Ternyata program ini amat menarik minat semua anggota dan warga pendidik serta murid-murid. Diharapkan program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang. Aktiviti senamrobik ini berakhir lebih kurang pukul 10 pagi. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua warga SKG...
"OTAK CERDAS LAHIR DARI BADAN YANG SIHAT"










PRA PERCUBAAN UPSR

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SEMUA MURID SEKOLAH KEBANGSAAN GAMBANG YANG SEDANG MENDUDUKI PRA PERCUBAAN UPSR 2012, SEMUA WARGA SKG MENDOAKAN KEJAYAAN ANDA

Jumaat, 6 Julai 2012

PANDUAN PERLAKSANAAN SENAMROBIK 1 MURID 1 SUKAN




1. Tarikh dan masa

1.1 Tarikh : 10 Julai 2012 (Selasa)
1.2 Masa bermula senamrobik : 8.00 pagi

2. Tempoh Masa Senamrobik
2.1 Masa senamrobik adalah selama 35 minit.
2.2 Peserta seboleh-bolehnya hendaklah melakukan senamrobik mengikut rentak seperti yang disediakan dalam cakera padat.
2.3 Peserta disarankan untuk melakukan senamrobik sepenuhnya mengikut kemampuan masing-masing.
2.4 Peserta yang kurang berkemampuan adalah disarankan untuk melakukannya mengikut kemampuan masing-masing.

3. Penyertaan
3.1 Semua warga Sekolah / IPG / Matrikulasi yang diertikan sebagai berikut:
3.1.1 murid / pelajar (termasuk murid / pelajar berkeperluan khas dan sekolah swasta);
3.1.2 guru, anggota khidmat sokongan;
3.1.3 ikon sukan; dan
3.1.4 VVIP / VIP yang dijemput oleh sekolah, IPG dan Matrikulasi.
3.2 Ibu bapa murid/pelajar digalakkan untuk menyertai senamrobik tersebut.

4. Pelaksanaan
4.1 Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia hendaklah bermula tepat pada jam 8.00 pagi. Atur cara yang dicadangkan di bawah adalah sebagai panduan sahaja. Sekolah boleh menyesuaikan pengisian majlis mengikut perancangan sekolah. Atur cara yang dicadangkan adalah seperti berikut:
4.2 Cadangan Atur Cara
6.30-7.00 pagi : Semua Peserta Melapor Diri
7.15 pagi : Ketibaan Dif-Dif Jemputan: Ketibaan Tetamu Kehormat
7.30 Pagi : Perhimpunan rasmi sekolah
: Bacaan Doa
: Bacaan Perutusan YAB Timbalan Perdana Menteri
: Gimik Pelancaran (jika Ada)
8.00 pagi : Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia bermula
10.00 pagi : P & P bermula atau sebaik sahaja tamatnya sesi Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia

5. Tempat Senamrobik (keselamatan hendaklah diutamakan)
5.1 Padang sekolah / IPGM / Matrikulasi;
5.2 Kawasan lapang; atau
5.3 Tempat senamrobik yang sesuai dan selamat.

6. Pendaftaran
6.1 Pra Pendaftaran
6.1.1 Semua sekolah / IPGM / Matrikulasi mesti membuat pra pendaftaran dengan menjangka jumlah kehadiran murid/pelajar ke sekolah / IPGM / Matrikulasi pada 10 Julai 2012 (Selasa).
6.1.2 Sekolah hendaklah mendaftarkan jumlah pra pendaftaran murid / pelajar dengan menggunakan borang seperti (lampiran A) dan hantar melalui emel seperti senarai e-mel (lampiran B) mulai 15 Jun 2012 sehingga 29 Jun 2012.

7. Nombor dan Pakaian Peserta
7.1 Murid / pelajar tidak perlu menggunakan nombor peserta.
7.2 Murid/pelajar hendaklah memakai pakaian sukan sekolah masing-masing atau pakaian sukan yang sesuai untuk aktiviti senamrobik.

8. Pengesahan Jumlah dan Penyerahan Penyertaan
8.1 Pengarah IPGM / Matrikulasi / Pengetua / Guru Besar / Guru Kanan hendaklah mengesahkan jumlah sebenar penyertaan murid / pelajar dengan menurunkan cop rasmi dan tandatangan pada borang perakuan penyertaan murid / pelajar (Lampiran C) pada hari senamrobik (10 Julai 2012).
8.2 Catatkan jumlah sebenar murid / pelajar yang mengambil bahagian pada borang perakuan penyertaan (Lampiran C) dan sertakan salinan kehadiran murid / pelajar yang telah disahkan oleh Pengarah IPGM / Matrikulasi / Pengetua / Guru Besar / Guru Kanan.
8.3 Sekolah / IPGM / Matrikulasi hendaklah menghantar borang perakuan penyertaan (Lampiran C) yang telah disahkan dengan cara mengimbas (scan) semua borang kehadiran murid/pelajar dan di e-mel kepada Bahagian Sukan, KPM mulai 10 Julai 2012 iaitu selepas senamrobik dan hendaklah sampai ke Bahagian Sukan sebelum 17 Julai 2012. Senarai e-mel adalah seperti Lampiran B.
8.4 Sebarang pertanyaan dipohon menghubungi Pn. Yasmin Othman, seperti talian berikut :
Pejabat : 03 8884 1357
Talian bimbit : 012 474 9464
E-mel : yasmin.othman@moe.gov.my

9. Penyerahan Gambar
9.1 Sekolah / IPGM / Matrikulasi hendaklah mengambil gambar pegun (still photos) sebagai bukti pelaksanaan acara.
9.2 Gambar pegun hendaklah diatur mengikut kronologi acara:
• pendaftaran;
• permulaan senamrobik
• ketika senamrobik berlangsung;
• aktiviti-aktiviti lain yang difikirkan sesuai.
9.3 Sekolah / IPGM / Matrikulasi hendaklah e-mel gambar pegun (maksima 5 keping sahaja) kepada Bahagian Sukan pada atau sebelum 17 Julai 2012 mengikut negeri masing-masing. Senarai e-mel adalah seperti (Lampiran B).

10. Sijil Penyertaan dan Penghargaan (2markah )
10.1 Semua murid/pelajar akan diberi sijil penyertaan Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia .
10.2 Sekolah / IPGM / Matrikulasi boleh muat turun sijil melalui portal Bahagian Sukan, KPM www.moe.gov.my/bsukan mulai 10 Julai 2012.
10.2 Setiap murid/pelajar yang menyertai aktiviti Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia layak diberi 2 markah (penyertaan).

Ciri-ciri Pentaksiran

    Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah mempunyai darjah kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan 'stakeholders' serta mengekalkan kewibawaan guru pentaksir.
Kebolehpercayaan pula merujuk kepada ciri skor yang menggambarkan prestasi pelajar dalam perkara yang ditaksir. Ciri-ciri pentaksiran yang lain ialah keobjektifan, kebolehtadbiran, kemudahtafsiran dan kekomprehensifan. Ciri-ciri ini perlu dipertimbangkan bagi memastikan sesuatu instrumen pentaksiran baik dan berkualiti.
    Keobjektifan sesuatu ujian atau pentaksiran merujuk kepada ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan atau ketepatan seseorang pentaksir memberi skor calon. Ciri keobjektifan pemberian markah/skor ini boleh dipertimbangkan dengan menyediakan skema penskoran yang objektif dan markah atau skor diselaraskan. Mekanisme ini bertujuan untuk memastikan pemeriksaan mempunyai kefahaman dan kemahiran yang terselaras antara satu sama lain. Cara ini mengurangkan perselisihan pemberian markah/skor di kalangan pemeriksa atau pentaksir.
    Kebolehtadbiran sesuatu ujian dan pentaksiran, ialah ciri praktik dengan merujuk kepada sejauhmana kelicinan dan kerja-kerja susulan dapat dijalankan dengan mudah dalam proses pengujian dan pentaksiran, yang dilaksanakan sama ada secara berpusat atau pentaksiran berdasarkan sekolah.
    Kemudahtafsiran sesuatu ujian dan pentaksiran, merujuk kepada sejauhmana ianya dapat memberi maklumat tentang calon berdasarakan skor yang diperolehi, sejauhmana ianya boleh mendiskriminasikan calon dan dapat menepati tujuan sesuatu ujian itu ditadbirkan.
    Kekomprehensifan sesuatu ujian dan pentaksiran merujuk kepada sejauhmana sesuatu ujian itu mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting. Oleh kerana itu semakin banyak bilangan item, semakin lebih baik taburan perwakilan adalah lebih menyeluruh.

Sumber;
http://adamayu.blogspot.com/2010/04/ciri-ciri-pentaksiran.html

Khamis, 5 Julai 2012

FADHILAT SYAABAN

    Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.
    Salah satu peluang yang mesti direbut itu adalah mengejar kebaikan yang hanya diberikan oleh Allah dalam bulan-bulan tertentu dan tidak pada bulan-bulan yang lain. Jika ada, ganjaran di bulan tersebut tentunya lebih baik lagi jika dibandingkan dengan kebaikan yang ada pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya, setiap ganjaran akan diberikan oleh Allah kepada para hambaNya dalam bulan-bulan tertentu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan mereka berusaha dan beramal, malah ini untuk kebaikan mereka juga. Inilah peluang keemasan yang semestinya mereka kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik dan mulia.
    Sudah tentu, mereka pula janganlah semata-mata ingin memperolehi ganjaran itu, tetapi yang lebih utama adalah mendapatkan keredhaan Allah, dan inilah yang lebih penting. Kerana ganjaran baik itu akan mereka perolehi jika Allah meredhai amalan mereka. Kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah. Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.
    Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya. Dalam sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid. Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.
    Seterusnya bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
    Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba�, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.
    Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.